Thursday, December 4, 2008

Haji Abdullah Hukum @ Arya Jaya Sepintas Lalu...

Haji Abdullah Hukum berasal daripada qariah Sungai Abu, Jajahan Sungai Penoh dari Kerinchi, Sumatera. nama asalnya Muhamad Rukun iaitu nama yang diberikan oleh nenek mamaknya (Datuknya) ketika mengerat pusat di waktu kelahirannya. Setelah itu namanya telah bertukar kepada 'Arya Jaya' sebagai satu gelaran yang sesuai mengikut adat kampungnya.

Sewaktu menunaikan fardu haji di tanah suci Mekah dan semasa berhimpun di Padang Arafah, beliau telah pun digelar sebagai 'Haji Abdullah Hukum'. Nama itu dikatakan begitu sebati dengan perwakatakannya dan semakin masyhur sehinggalah beliau selamat kembali ke tanah air. Ayahandanya pula 'Sekanching' yang membawa makna 'Kunci Pintu' diberikan gelaran Tok Pangku. Sebagaimana Haji Abdullah Hukum, nama ayahandanya juga telah bertukar sebagai 'Haji Abdul Rahim' ketika beliau berada di Padang Arafah.

Berhijrah Ke Tanah Melayu

Menurut kisah yang diceritakannya sendiri di dalam Warta Ahad, 6 Oktober 1935, Haji Abdullah Hukum telah dibawa bapanya berhijrah ke semenanjung Tanah Melayu ketika berusia 15 tahun, dan telah meninggalkan tanah Kerinci di Sumatera melalui Pekan Baru (Siak). Beliau telah belayar merentasi Selat Melaka menggunakan sebuah 'sekuchi' sehinggalah sampai di pantai Melaka pada tahun 1850.

Di Melaka beliau dan ayahandanya telah menumpang di rumah Datuk Dagang bernama Haji Said, iaitu bapa saudara Allahyarham Tambi Abdullah seorang saudagar yang kaya raya di Kuala Lumpur yang bergelar 'Datuk Abdullah'.

Setelah tiga hari berada di Melaka, Haji Abdullah Hukum bersama ayahandanya telah belayar pula dengan sebuah nadil yang ditumpangnya menuju ke Pengkalan Kempas yang membawa barang dagangan seperti kain dan lain-lainnya. Haji Abdullah Hukum telah mengambil upah menggalas kain dari Pengkalan Kempas sehingga menuju ke Sungai Ujong dengan kadar upahnya lima sen sekati dari seorang saudagar kaya juga dari Kerinchi yang bernama Haji Abdul Rahman.

Dari Sungai Ujong Berkelana ke Kuala Lumpur

Di Sungai Ujong Haji Abdullah Hukum cuba untuk mendapatkan pekerjaan terutama di lombong bijih timah yang dibuka oleh penduduk Cina di sana, tetapi beliau merasakan hasratnya itu tidak mungkin kesampaian, lalu beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Sungai Ujong berkelana menuju Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur begitu ramai orang-orang dari Kerinchi berkampung halaman, terutama di Bukit Nanas dan juga di Sungai Putih (Kini Bukit Bangsar). Di sini juga dikatakan banyak peluang-peluang pekerjaan yang boleh diusahakan, seperti bercucuk tanam dan juga mengusahakan ternakan lembu dan kerbau.

Selama tiga hari tiga malam beliau berkelana dari Sungai Ujong ke Kuala Lumpur dengan berjalan kaki sambil menggalas kain. Sepanjang perjalanannya itu, begitu banyak pengalaman dan juga cabaran yang telah beliau tempuhi. Diantaranya beliau telah terlihat insiden perkelahian yang dahsyat yang melibatkan seorang mangsa yang telah mati ditikam berlemuran darah akibat seorang perempuan.

Java Street dan Market Street

Sebaik sampai di Kuala Lumpur, Haji Abdullah Hukum telah menumpang di rumah Haji Abdul Ghani di Java Street. Menurut al-kisahnya, Kuala Lumpur pada masa itu hanya terdapat dua lorong sahaja iaitu Java Street dan Market Street, manakala Ampang Street (Sekarang Leboh Ampang) dahulunya sebagai pusat ceti. Di sini jugalah terdapat sebuah kolam ikan yang dimiliki oleh Almarhum Sutan Puasa.

Menurut cerita Haji Abdullah Hukum, rumah-rumah kedai pada masa itu beratapkan atap bertam dan berdindingkan buloh, manakala para peniaga di situ pula ramai yang menjual kain dan makanan. Semuanya orang Melayu yang berketurunan Rawa dan Mandahiling. Sutan Puasa dan juga Raja Bilah merupakan diantara ketua masyarakat yang cukup berpengaruh pada masa itu.

Kedua-dua ketua masyarakat ini mengutip hasil dagangan daripada peniaga-peniaga yang berdagang di situ terutamanya yang menggunakan laluan Sungai Kelang dan Sungai Gombak yang berdekatan di situ. Cukai bijih timah pada masa itu ialah satu ringgit sebahara (Tiga pikul).

Haji Abdullah Hukum juga berkata bahawa kawasan Setapak sekarang, dulunya dikenali sebagai Ulu Sungai Tapak, manakala kawasan Air Panas hari ini dulunya dikenali sebagai Ulu Sungai Gombak. Kedua-dua penempatan strategik ini merupakan kawasan sawah padi yang dimiliki oleh Sutan Puas.

Haji Abdullah Hukum pernah mengambil upah membina tali air selama tiga tahun di Serambut (Batu 5 Gombak) dan di beberapa tempat yang berdekatan dengannya oleh Sutan Puasa. Sutan Puasa merupakan seorang ketua masyarakat yang amat disenangi oleh penduduk tempatan pada masa itu. Semua orang boleh mengerjakan sawahnya dengan kadar upahan sebanyak sepuluh gantang padi daripada setiap seratus gantang yang diserahkan kepada Sutan Puasa apabila musim menuai.

Ketua Penduduk Pudu

Meneruskan ceritanya lagi, Haji Abdullah Hukum juga pernah menghadap Raja Laut iaitu Putera Raja Mahmud, dimana beliau telah meminta sebidang tanah untuk dijadikan kampung baru. Raja Laut telah memperkenankan permintaannya itu dengan memberikan kebenaran kepada Haji Abdullah Hukum untuk membuka sebidang tanah di Pudu, seterusnya melantik beliau sebagai Ketua Penduduk di situ. Terdapat ramai penduduk yang berasal dari Kerinchi mendiami kawasan penempatan baru ini (Kawasan Bukit Bintang sekarang ini).

Di Pudu, Haji Abdullah Hukum dan pengikut-pengikutnya telah menjalankan kegiatan bercucuk tanam sayur-sayuran, tebu, pisang, sirih dan berbagai tanaman yang lainnya, termasuk juga ada yang bersawah padi. Haji Abdullah Hukum yang menjadi Ketua Kampung di Pudu selama tujuh tahun itu juga pernah menjadi nakhoda mengambil upah membawa beras dengan perahu dari Kelang ke Kuala Lumpur. Dia pernah mendapat upah empat puluh ringgit untuk sekoyan guni beras.

Peneroka Bukit Nanas

Raja Mahmud yakni Putera Sultan Muhamad juga telah memberikan surat kebenaran kepada Haji Abdullah Hukum untuk membuka kebun di Bukit Nanas (Tapak Menara Kuala Lumpur sekarang). Begitu juga beliau telah memperolehi perkenan Raja Laut dan juga 'Maxwell' untuk meneroka penempatan di Sungai Putih, kini dikenali sebagai Jalan Bangsar. Semasa di Sungai Putih beliau juga telah membuka penempatan baru di Bukit Chandi Putra (Komples Angkasapuri sekarang).

Nama Asal Jalan Bangsar

Sebagai pengiktirafan pihak Istana kepada beliau, Haji Abdullah Hukum telah diangkat menjadi Ketua Kampung di Sungai Putih, dan kemudiannya diangkat menjadi Penghulu. Semasa menjadi Penghulu di Sungai Putih inilah beliau telah berjaya menyatu padukan tiga kaum utama yang terdapat di situ iaitu Melayu, Cina dan India. Dengan kejayaan itu juga, Haji Abdullah Hukum telah menamakan jalan utama di situ sebagai 'Jalan Bangsa', seterusnya hari ini dikenali sebagai 'Jalan Bangsar'.

Di dalam penceritaan selanjutnya, Haji Abdullah Hukum juga pernah terlibat di dalam peperangan diantara Selangor dengan Pahang. Sultan Abdul Samad telah memanggil beliau untuk membantu memperkuatkan benteng pertahanan Selangor. Beginda telah melantik Haji Abdullah Hukum menjadi Datuk Dagang dan menjadi Panglima di dalam peperangan tersebut.

Sebagai mengenang jasa beliau, Sultan Abdul Samad telah mengurniakan sebidang tanah seluas satu perempat ekar kepada Haji Abdullah Hukum. Tanah ini terletak berhampiran dengan Sungai Kelang dan begitu strategik dari segi perhubungan serta sesuai pula untuk menjalankan kegiatan bercucuk tanam. Sebagai Datuk Dagang, Haji Abdullah Hukum telah diberikan kuasa untuk menyelesaikan semua masalah yang membabitkan masyarakat kampung dan kawasan sekitarnya.

Peneroka Kampung Haji Abdullah Hukum

Penempatan itu telah dinamakan sebagai 'Kampung Haji Abdullah Hukum' dan terus menjadi tumpuan oleh pengikut-pengikutnya sejak tahun 1890-an lagi. Pekerjaan utama penduduk kampung pada masa itu ialah bersawah padi dan bercucuk tanam.

Selepas kemangkatan Sultan Abdul Samad pada 1898, Haji Abdullah Hukum telah mencurahkan taat setia dan baktinya kepada putera baginda, Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Haji Abdullah Hukum yang sudah lama tidak balik ke kampung asalnya telah pulamg ke Sumatera pada tahun 1929. Haji Abdullah Hukum telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 125 tahun.

Haji Mahmud, salah seorang daripada enam orang anaknya telah mengambil alih tugas sebagai Ketua Kampung sejak Haji Abdullah Hukum tidak lagi menjadi Ketua, sehinggalah Haji Abdullah Hukum membuat keputusan untuk pulang ke Sumatera.

Cucu Haji Abdullah Hukum, Haji Kamaruddin Bin Haji Mahmud telah mewarisi pusaka kampung ini sehingga sekarang. Kesan-kesan sepeninggalan Haji Abdullah Hukum termasuk sebuah rumah miliknya masih terdapat di Kampung Haji Abdullah Hukum.

Keratan akhbar Berita Harian 2 Februari 2007 tuliasn oleh Abdul Rahman Hashim.